Hendrawan, Chong Wei Bincang Hala Tuju

Foto Berita Harian
KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.

Hendrawan berkata, dia perlu tahu sama ada Chong Wei masih mahu dirinya sebagai jurulatih atau sebaliknya dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow, Scotland.

"Selepas tamat Olimpik Rio 2016, saya belum berbincang dengan Chong Wei mengenai perkara ini. Jadi, saya perlu tahu pandangannya terlebih dahulu.

"Adakah dia masih mahu saya atau sebaliknya. Saya juga perlu mengadakan perbincangan dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia), buat masa sekarang saya akan bercuti lebih kurang seminggu dan selepas itu nanti akan mula berbincang," kata Hendrawan ketika dihubungi.

BH Sukan semalam melaporkan, masa depan Hendrawan menjadi persoalan selepas berakhirnya Olimpik Rio 2016 dengan kontraknya bersama BAM bakal tamat pada hujung tahun ini.

Jurulatih dari Indonesia itu mula melatih pemain nombor satu dunia berkenaan sejak April tahun lalu dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diberikan adalah memastikan Chong Wei muncul juara dunia 2015 di Jakarta, Indonesia dan memenangi pingat emas Olimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, kedua-dua kejohanan itu menyaksikan Chong Wei meraih perak sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depannya.

Malah, Hendrawan sebelum ini memberi bayangan untuk tidak menyambung kontraknya bersama BAM.

Hendrawan sudah tujuh tahun bersama BAM sejak dia menandatangani kontrak dengan badan induk itu pada 2009 dengan menjadi jurulatih skuad pelapis kebangsaan. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA