Hari Kebangsaan Medan Terbaik Penyatuan Hati Rakyat Malaysia - Salleh


KUALA LUMPUR, 29 Ogos -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengajak rakyat negara ini bersama meraikan Hari Kebangsaan dengan semangat kekitaan tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Beliau berkata ianya bertepatan dengan tema sambutan iaitu 'Sehati Sejiwa' yang menggambarkan penyatuan rakyat negara ini tanpa sebarang perbezaan fahaman politik dan ideologi.

"Ini adalah suatu hari yang harus kita jadikan sebagai hari penyatuan hati sesama kita di mana hari kita mencapai kemerdekaan. Kita juga perlu bersyukur negara kita aman damai.

"Kita harus terus ke hadapan untuk memastikan negara ini lebih gemilang," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka di sini, Isnin.

Hari Kebangsaan 2016 disambut pada 31 Ogos ini di seluruh negara dan sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Dataran Merdeka dengan tema tahun ini 'Sehati Sejiwa'.

Tema tersebut dikekalkan untuk 2016 kerana perlunya memupuk semangat bersatu padu yang telah lama menjadi amalan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hampir 15,000 peserta daripada agensi kerajaan, swasta, anggota pasukan keselamatan serta pelajar sekolah menyertai acara persembahan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan.

Mengulas mengenai persembahan peserta pada raptai penuh itu, Salleh berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dan berharap peserta dapat mengekalkan momentum persembahan masing-masing dalam semangat sepasukan.

"Semangat seumpama itu dapat diterjemahkan kepada persembahan yang cukup hebat untuk rakyat negara ini," kata Salleh.

Dalam pada itu, beliau mengajak semua rakyat negara ini untuk tidak melepaskan peluang hadir di Dataran Merdeka pada Rabu ini bagi menyaksikan acara tahunan yang penuh gemilang.

"Datanglah dengan memakai pakaian berwarna-warni bertemakan Jalur Gemilang. Tunjukkan semangat patriotik masing-masing. Ini adalah kunci segala-galanya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Othman Mahmood berkata walaupun persembahan pada raptai penuh berkenaan menunjukkan perkembangan positif, masih terdapat beberapa aspek yang perlu ditambah baik.

"Tahap persembahan kini 95 peratus jika dibandingkan dengan dua hari lepas. Ini suatu perkembangan membanggakan. Kita ada masa lagi esok untuk lihat mana-mana kekurangan yang ada supaya 31 Ogos nanti kita dapat memberikan persembahan terbaik," katanya.

Justeru Othman menasihatkan peserta agar mendapatkan rehat yang cukup esok bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA