Harga Runcit Petrol Pada Ogos Kekal, Diesel Naik 10 Sen



KUALA LUMPUR – Harga runcit bagi petrol RON95, RON97 bagi bulan Ogos kekal seperti pada bulan lepas, manakala diesel mengalami kenaikan sebanyak 10 sen berkuat kuasa mulai tengah malam 1 Ogos.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petron Malaysia, Datuk Alang Zari Ishak ketika mengesahkan perkara itu berkata harga runcit bagi RON95 kekal RM1.75 seliter manakala harga runcit bagi RON97 ialah RM2.10 seliter.

“Bagaimanapun harga runcit yang baharu untuk minyak diesel pula dinaikkan hanya sebanyak 10 sen kepada RM1.70 seliter,” kata beliau lagi ketika dihubungi oleh Bernama di sini pada lewat Ahad.

Maklumat tersebut sekali gus menafikan dakwaan jahat oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi media sosial tempatan bahawa konon kerajaan akan menaikkan harga minyak petrol untuk bulan Ogos.

Pada awal bulan Julai, harga runcit petrol untuk kedua-dua jenis RON da diesel buat pertama kali mengalami kenaikan sejak April lalu apabila ketiga-tiga bahan berkenaan naik 5 sen berkuat kuasa 1 Julai.

Harga runcit untuk petrol sejak April lepas ialah masing-masing RM1.70 seliter bagi RON95 dan RM2.05 bagi RON97 manakala minyak diesel dijual dengan harga RM1.55 seliter. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA