Harapan Malaysia Terletak Pada Bahu Anda - PM


RIO DE JANEIRO : Datuk Seri Najib Tun Razak berharap pingat emas pertama Malaysia akan dicipta daripada 30 atlet negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 bermula Jumaat ini, di sini.

Perdana menteri berkata inilah impian negara selama ini dan beliau melontarkan cabaran kepada para atlet itu supaya membuktikan kepada dunia yang Malaysia mampu berdiri dalam kalangan yang terbaik.

Dalam kata pengantarnya dalam buku panduan rasmi pasukan ke Rio, perdana menteri berkata:

"Selaras dengan tema Sukan Olimpik 2016 'Viva Sua Paixao' atau 'Live Your Passion', adalah menjadi harapan saya agar semangat juang yang dikenali dalam kalangan atlet negara akan menghadiahkan pingat emas pertama untuk Malaysia.

Inilah impian kita sebagai sebuah negara dan anda sebagai individu, selama ini untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia dalam kejohanan sukan paling berprestij dunia.

Anda telah menghabiskan masa bertahun-tahun untuk berlatih, menyiapkan diri untuk saat ini, dan semangat untuk menang jelas dilihat oleh semua.

Sebaik anda melangkah ke dalam gelanggang, ingatlah bahawasanya anda mungkin hanya ahli kontinjen 72 individu (termasuk 32 atlet), tetapi Malaysia adalah sebuah pasukan hampir 30 juta orang.

Harapan negara terletak pada bahu anda - buktikan kepada dunia bahawa kita mampu berdiri dengan yang terbaik.

Malaysia Boleh!". - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA