"Geng Alvin" Tumpas


BINTULU: Sindiket pecah rumah yang bergerak aktif di bandar ini berjaya ditumpaskan oleh sepasukan anggota polis cawangan task force jabatan siasatan jenayah(JSJ) bersama anggota cawangan task force unit rondaan bermotor (URB) dalam satu operasi khas pada 10 dan 12 Ogos lalu.

Hasil siasatan awal ke atas lima lelaki tempatan yang berumur dalam lingkungan 21 dan 30 tahun itu mendapati sindiket tersebut diketuai oleh seorang lelaki warga negara Indonesia yang masih bebas serta bergiat aktif dalam jenayah tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu Supritenden Zailanni Amit ketika dihubungi berkata, hasil siasatan awal kelima suspek yang ditahan telah mendedahkan identiti dalang utama sindiket berkenaan iaitu seorang lelaki warga negara Indonesia bernama Aspalin atau lebih dikenali dengan nama Alvin.

“Kesemua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu(amphetamine) ketika ujian saringan air kencing dijalankan,”katanya.

Dalam perkembangan lain, empat lagi individu yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita juga ditahan kerana membeli barangan curi dan kes disiasat dibawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana membeli dan memiliki harta curi.

Turut dirampas, dua unit komputer riba jenama Asus, empat unit telefon bimbit, seutas gelang emas, sebuah jam tangan jenama OTS, sebuah pengecas komputer riba jenama Asus dan sebuah beg biru jenama Studieux.

Sehubungan itu, pihak polis akan memanggil kesemua mangsa pecah rumah bagi proses pengecaman barang kes.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA