Generasi Muda Ejen Galak Perpaduan



KUCHING: Generasi muda yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti Politeknik Kuching Sarawak (PKS) memain peranan penting sebagai ejen menggalakkan perpaduan, kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi.

Malah menurutnya, PKS amat sesuai ditonjolkan sebagai IPT Perpaduan kerana usaha gigih dalam melahirkan pelajar saling hormat menghormati dan suasana kampus yang harmoni.

"PKS sesuai ditonjolkan sebagai IPT Perpaduan kerana usaha gigih dan tidak putus-putus melahirkan anak muda Sarawak yang saling hormat menghormati dan suasana kampus yang harmoni," katanya pada Majlis Ramah Tamah Gawai Raya Politeknik Kuching Sarawak hari ini.

Pada masa sama beliau turut memuji semangat perpaduan tinggi ditampilkan pelajar PKS yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Menurutnya lagi, pelajar PKS turut terlibat dengan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 bukan sahaja sebagai atlet tetapi sebagai sukarelawan majlis pembukaan dan penutupan.

"Penglibatan pelajar yang baik dalam bidang sukan dan kebudayaan turut membantu Sarawak meraih pingat acara skuash serta silat selain penyertaan majlis pembukaan dan penutupan SUKMA," ujarnya.

Pada majlis sama, Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai melancarkan Pra Konvokesyen Ke-24 PKS. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA