Gempa: Najib ucap takziah kepada Itali, Myanmar


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan penduduk Itali dan Myanmar susulan kejadian gempa bumi di kedua-dua negara yang telah meragut banyak nyawa.

"Saya mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Itali yang terjejas kejadian gempa bumi.

"Myanmar turut terjejas kejadian gempa bumi dengan beberapa tapak bersejarah rosak dan banyak nyawa terkorban.

Saya bersimpati dengan penduduk Myanmar," katanya dalam catatan di akaun Twitter beliau, @NajibRazak, hari ini.

Reuters melaporkan angka kematian akibat gempa bumi di kawasan tengah Itali meningkat kepada hampir 250 orang pada awal hari ini selepas pasukan menyelamat semalaman berusaha mencari mereka yang terselamat di bawah runtuhan di bandar-bandar.

Agensi berita itu melaporkan gempa bumi berkekuatan 6.2 pada skala Richter melanda pada awal pagi Rabu ketika penduduk sedang tidur, memusnahkan rumah dan menyebabkan jalan raya merekah.

Di Myanmar, Reuters melaporkan sekurang-kurangnya 187 daripada kuil rosak dalam gempa bumi berkekuatan 6.8 yang menggegarkan bangunan di seluruh negara Asia Tenggara itu semalam.

Agensi berita itu turut memetik pegawai Palang Merah sebagai menyatakan mereka menerima laporan tiga orang maut - dua kanak-kanak dan seorang penduduk di dua bandar yang terletak berhampiran dengan pusat gempa itu. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA