Ganjaran Buat Pandelela Menang Pingat Perak Di Rio


KUCHING: Kerajaan negeri akan memutuskan jenis ganjaran yang akan diberikan kepada Pandelela Rinong selepas ratu terjun negara kelahiran Sarawak itu berjaya memperolehi pingat perak bersama pasangannya Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform serirama wanita Sukan Olimpik Rio 2016 di Pusat Akuatik Maria Len awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, beliau akan berunding dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai perkara tersebut kerana ia merupakan kejayaan tertinggi.

"Kita akan putuskan selepas tamat Sukan Olimpik Rio 2016 mengenai ganjaran. Saya akan berunding dengan Ketua Menteri dan ini kejayaan tertinggi," katanya.

Beliau berkata, kejayaan Pandelela yang berasal dari Kampung Jugan, Bau itu membanggakan rakyat negara ini.

"Tahniah kepada Pandelela kerana memenangi pingat perak. Amat membanggakan kita sebagai rakyat Sarawak dan Malaysia. Lahir di sini (Sarawak) berjaya sumbang pingat Perak kepada negara," ujarnya.

Abang Johari turut kagum dengan semangat yang ditunjukkan Pandelela kerana amat fokus dalam aspek latihan sehingga mendapat kejayaan tertinggi itu.

"Banyak yang kita belajar daripada anak muda ini (Pandelela) terutama fokus ketika latihan dan semasa pertandingan," tambahnya. -Sarawakiana.



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA