Gambar budak Syria cedera tarik perhatian dunia

ALEPPO: Gambar budak lelaki Syria berlumuran darah dan debu dalam keadaan terkejut yang duduk di dalam ambulans selepas serangan udara, menjadi simbol penderitaan orang awam di negara itu, yang menarik perhatian dunia.

Ketika kebimbangan antarabangsa memuncak, Russia yang menjadi sekutu kuat Presiden Bashar al-Assad berkata ia sedia menggantung serangan di bandar raya itu selama 48 jam bermula minggu depan.

Pengumuman yang dibuat semalam menyusul rayuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah supaya pertempuran dihentikan di Aleppo bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke wilayah berkenaan.

Namun imej Omran, lima tahun, duduk kebingungan dan berlumuran darah dalam ambulans yang menggegarkan dunia, sama seperti gambar mayat Aylan Kurdi yang terdampar di pantai Turki, tahun lalu.

Omran berjaya dikeluarkan daripada runtuhan selepas serangan udara kelmarin di Daerah Qaterji di tenggara Aleppo, yang musnah akibat peperangan selama lima tahun.

Doktor yang merawat kecederaan di kepala Omran berkata dalam temubual, kanak-kanak itu bersatu semula dengan ibu bapanya dan semua anggota keluarga itu dipercayai selamat dalam serangan.

"Omran ketakutan dan kehairanan dan dia tidak menangis kerana terlalu terkejut.

"Omran bertuah kerana berpeluang menceritakan kisahnya kepada media tetapi setiap hari kami berhadapan dengan lebih ramai kanak-kanak yang cedera lebih teruk dan kisah hidup lebih buruk. Mereka hilang nyawa, hilang anggota badan atau lumpuh," kata pakar bedah yang dikenal pasti Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) sebagai Dr Mohammad.

Jabatan Negara Amerika Syarikat menggelar Omran sebagai 'wajah sebenar' konflik Syria.

Jurugambar Mahmoud Rslan merakamkan imej Omran, yang diletakkan di atas kerusi dalam ambulans selepas dibawa keluar dari pangsapuri keluarganya oleh pasukan penyelamat. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA