Fahami & Hayati Erti Sebenar Kemerdekaan, Fazzrudin


KUCHING
: Kempen Kibar Jalur Gemilang perlu diteruskan sepanjang tahun agar masyarakat dapat memahami dan menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman ketika menegaskan perkara itu berkata masyarakat juga perlu menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dalam mengekalkan kemerdekaan hingga sekarang.

“Apa yang dikecapi hari ini tidak akan dinikmati jika tidak tanpa pengorbanan oleh pemimpin-pemimpin dulu.

“Ia bukan sahaja Perdana Menteri atau Ketua Menteri sebelum ini, tetapi pemimpin di setiap lapisan masyarakat yang telah berkorban untuk memastikan apa yang kita kecapi hari ini dapat dikekalkan,” katanya semasa berucap pada Program Merdeka @ Komuniti sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Malam K1M Ku Hebat 2016 di sini kelmarin.

Menurut Fazzrudin, pengorbanan pemimpin terdahulu membolehkan masyarakat hari ini menikmati pelbagai manfaat seperti keharmonian dan perpaduan kaum selain peluang-peluang ekonomi dan pekerjaan yang banyak.

Justeru, beliau mahu apa yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu disebarkan kepada masyarakat khususnya generasi baharu agar kedaulatan negara ini dapat dipertahankan sampai bila-bila.

Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa cabaran dihadapi pada zaman ini jauh berbeza berbanding dulu di mana cara penaklukan adalah lebih licik.

“Jika masyarakat merasai dan faham pengorbanan ini, secara automatik mereka akan mengibarkan Jalur Gemilang dan semangat itu akan diteruskan sampai bila-bila,” tambah Fazzrudin.

Beliau turut menyeru ibu bapa melengkapkan anak-anak mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan untuk menjamin masa depan selain membolehkan mereka merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan.

Pada majlis itu, sejumlah 30 Komuniti 1Malaysia dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching hadir sama. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA