Empat Sekeluarga Cemas Ditawan Perompak


BAU: Empat sekeluarga cemas selepas ditawan sekumpulan perompak bersenjata yang disyaki “Geng Rantau” di rumah kediaman mereka di Musi, jalan Bau-Batu Kawa disini awal pagi semalam.

Mangsa merupakan seorang kontraktor berusia 51 tahun tinggal bersama ibu dan dua anak lelakinya ketika kejadian cemas didatangi sekumpulan lelaki bersenjatakan parang.

Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Bau DSP Mohd Sabri Zainol dalam sebuah akhbar tempatan, enam lelaki dipercayai warga asing memecah masuk kerumah seorang kontraktor jam 3 pagi.

“Mangsa bersama tiga lagi ahli keluarganya dirompak oleh enam lelaki yang disyaki warga Indonesia. Tiga daripada perompak itu bersenjatakan parang.

“Mangsa dan semua ahli keluarga telah diikat menggunakan tali pengikat langsir di rumah,” katanya.

Jumlah kerugian dianggarkan  lebih kurang RM150,000 apabila pelbagai barang termasuk kenderaan Nissan Murano, televisyen, dua unit iPhone dan sejumlah wang dilarikan oleh kumpulan tersebut, tambah Sabri

Modus operandi kumpulan terbabit sama seperti yang dikesan dalam kes pecah rumah oleh warga Indonesia di Kampung Stakan Melayu disini Selasa lalu.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan 379 A Kanun Keseksaan.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA