Elak Ditipu Pakei Umrah


KUCHING: Umat Islam di Sarawak yang berhasrat untuk menunaikan ibadah umrah perlu mengambil langkah berhati-hati dengan mengenalpasti syarikat penyedia perkhidmatan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Pengarah MOTAC Cawangan Sarawak, Suriya Charles Buas berkata, pihaknya sedang giat menjalankan kempen kesedaran mengenai pakej umrah kerana ketika ini kes melibatkan penipuan pakej umrah semakin meningkat di seluruh negara.

"Kebanyakan yang terlibat (ditipu) adalah orang kampung dan mereka kehilangan simpanan bertahun-tahun (untuk membiayai perjalanan ke tanah suci).

"Jadi kita (MOTAC) melaksanakan program untuk menyedarkan orang awam agar berhati-hati apabila bercadang menunaikan umrah.

"Kita ada senarai syarikat yang dilantik atau dibenarkan untuk menjalankan pakej ini (umrah) termasuk di Sarawak," katanya pada Sidang Media Bersama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Penggembaraan Malaysia (MATTA) di sini, hari ini.

Selain itu menurutnya, MOTAC Sarawak juga menasihati penyedia pakej pelancongan 'haram' supaya mendaftar dengan segera agar pelancong yang menggunakan perkhidmatan mereka tidak menanggung risiko seperti tiada perlindungan insurans.

"Kita minta mana-mana operator tidak sah untuk memohon lesen sah yang dikeluarkan MOTAC. Sekiranya mahu maklumat lanjut boleh hubungi kita, MATTA atau Tourism Malaysia," ujarnya.

Beliau menambah, usaha tersebut penting agar Sarawak menjadi destinasi pelancongan mesti dilawati.

"Jika perkhidmatan kita terbaik dan tidak menghampakan pelancong, sudah pasti Sarawak akan menjadi tumpuan ramai," jelasnya. -Sarawakiana.




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA