Ekuiti 30 Peratus Bukan Keistimewaan

Dr Muhammad Abdullah Zaidel
KOTA SAMARAHAN: Usahawan Bumiputera perlu berfikir luar kotak bagi mendapat keistimewaan dalam perniagaan tanpa terlalu leka dengan ekuiti tiga puluh peratus yang telah ditetapkan.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, Bumiputera jangan terlalu selesa dengan peratusan ekuiti tersebut memandangkan usahawan Bumiputera perlu mengambil kesempatan peluang perniagaan yang ada supaya mampu menguasai ekonomi.

"Bumiputera seharusnya meningkatkan peratusan tersebut agar mempunyai kuasa membuat keputusan mutlak dalam perniagaan.

"Bumiputera perlu bersaing sama tinggi dengan bangsa Tiong Hua supaya mampu menguasai ekonomi negara," katanya.

Beliau juga menyentuh bahawa Bumiputera belum mempunyai keyakinan untuk bersaing dalam perniagaan memandangkan tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri.

"Untuk memajukan sebuah perniagaan, usahawan Bumiputera perlu berfikir luar dari kotak agar lebih bijak memilih pasaran yang lebih meluas," katanya kepada Sarawakiana.

"Usahawan Bumiputera perlu memandang kepada pasaran luar dari Malaysia kerana ia lebih terbuka dan lebih berdaya maju berbanding pasaran dalaman yang sudah begitu banyak pesaing.

"Tigapuluh juta penduduk Malaysia bukan lagi jaminan untuk usahawan Bumiputera mengembang perniagaan kerana pasaran global lebih meluas untuk diterokai," ujarnya.

Beliau menyatakan bahawa usahawan Bumiputera mesti berkeyakinan dan berani menerokai pasaran yang lebih luas agar tidak terlalu berasa istimewa dengan ekuiti tigapuluh peratus walhal mereka mampu untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang keusahawanan.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA