‘Edrus Minta Ampun Sangat-Sangat Mak’


KUALA LUMPUR – “Edrus minta maaf mak, Edrus minta ampun sangat-sangat, nanti kalau sempat Edrus datang tidur dengan mak ya,” kata-kata Noor Amila Edrus Norsham, 5; kepada ibunya, Siti Nursharmila Tengku Hanafiah, pada Aidilfitri lalu.

Siti Nursharmila, 46; berkata dia tidak menyangka luahan maaf anak lelakinya itu yang bersungguh-sungguh kerana tidak dapat bermalam di rumahnya di Kepong pada Hari Raya pertama lalu, menjadi pertemuan terakhir mereka berdua.

Anak sulung daripada dua beradik itu yang tinggal bersama bapa dan ibu tirinya di Jinjang Utara, hilang pada 11 Ogos lalu, dan mayatnya ditemui di kawasan semak Kampung Kemensah, Hulu Kelang, kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

“Hari Raya pertama itulah kali terakhir saya berjumpa Edrus,” kata Siti Nursharmila di Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur sambil tidak henti-henti menyekat air mata dan dipujuk saudara-mara.

Siti Nursharmila sebelum itu rebah sejurus keluar selepas mengecam mayat anaknya.

Wanita itu tidak dapat menyatakan motif anaknya diperlakukan sedemikian rupa.

Mayat anaknya ditemui selepas seorang lelaki yang ditahan sebelum ini, membawa polis ke lokasi penemuan mayat Edrus.

Murid tadika itu dikatakan pergi menunaikan solat Maghrib di surau yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah ibu tirinya di Jinjang sebelum hilang.

“Edrus memang pantang dengar azan, dia akan terus ke surau atau masjid untuk solat jemaah,” kata Siti Nursharmila yang bekerja sebagai jurujual di KLCC.

Sementara itu bapa mangsa Norsyam Jali, 63, menyifatkan Edrus sebagai anak istimewa kerana begitu berminat ke surau atau masjid sejak berumur empat tahun.

“Dia juga pandai mengaji dan amat rapat dengan saya,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA