Dzulkifli mulakan tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM


PUTRAJAYA: Datuk Dzulkifli Ahmad hari ini memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Beliau yang tiba tepat jam 8 pagi, disambut barisan pengurusan tertinggi SPRM yang diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah.

Hadir sama termasuk Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Datuk Alias Salim dan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki. Beliau kemudiannya mengetip kad perakam waktu sebelum masuk ke pejabat.

Dzulkifli, yang sebelum ini adalah Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara, menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa pada Jumaat lepas mengumumkan pelantikan Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021.

Abu Kassim pula akan ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM). - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA