Dzulkifli Harap Kerjasama, Sokongan Semua Pihak Banteras Rasuah


KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad berharap semua pihak dapat memberi kerjasama dan sokongan dalam membanteras rasuah di negara ini.

Beliau berkata, pelantikan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM merupakan peluang baginya untuk meneruskan khidmat dan berbakti kepada negara.

"Saya akan berusaha sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan melaksanakan usaha pencegahan rasuah di Malaysia secara amanah, tegas dan adil.

"Saya turut sedar akan cabaran getir dan harapan tinggi yang diletakkan kepada saya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dzulkifli turut merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Saya juga dengan penuh rasa hormat dan takzim ingin merafak sembah menjunjung kasih yang tidak terhingga di atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah atas pelantikan dan amanah yang diberikan kepada saya.

"Di samping itu, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed atas kepimpinannya yang cemerlang serta sumbangannya yang besar kepada SPRM dan negara," katanya.

Dzulkifli, yang sebelum ini merupakan Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara, menggantikan Abu Kassim.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa Jumaat lepas mengumumkan pelantikan Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA