Dua Beranak Diberkas, Dadah Jenis Syabu Dirampas

Foto Utusan Borneo

MIRI: Dua beranak diberkas dan sejumlah dadah dipercayai jenis syabu berjaya dirampas hasil serbuan polis ke sebuah rumah yang terletak di Tudan di sini, pagi semalam.

Berikutan tangkapan itu, dua beranak terbabit yang masing-masingnya berusia 20 dan 53 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Junaidi Bujang berkata tangkapan ke atas dua beranak terbabit dibuat hasil serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Miri diketuai Inspektor Wikkram Sandra ke sebuah rumah yang terletak di kawasan Tudan.

Katanya dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 10 pagi itu, polis telah menjumpai satu bungkusan plastik hitam mengandungi satu bungkusan plastik ubat tertulis Hospital/Klinik Kesihatan yang di dalamnya terkandung 46 peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Turut dijumpai dalam bungkusan sama ialah satu bungkusan plastik ubat tertulis Hospital/Klinik Kesihatan mengandungi 40 peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal juga disyaki dadah jenis syabu serta satu peket plastik lutsinar berisi peket kosong dan satu alat penimbang digital.

Difahamkan, plastik hitam itu telah disembunyikan di kawasan tangga dalam rumah suspek.

“Polis percaya dapat menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah di sini dengan penangkapan dua beranak terbabit iaitu seorang ibu dan anak lelaki termasuk rampasan 86 peket dadah dipercayai jenis syabu,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam.

Manakala nilai dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM4,300 dan selain itu menurut Junaidi, polis turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Almera dianggarkan bernilai RM42,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Manakala ujian air kencing menunjuk kedua-duanya negatif dadah dan terdahulu, polis turut menangkap lima suspek di kawasan hadapan rumah suspek dipercayai hendak mendapatkan bekalan dadah daripada dua beranak terbabit.

Difahamkan, suspek pertama pernah ditangkap bersama suami dan seorang anak perempuan sebelum ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA