Dua Atlet Paralimpik Sarawak Dipilih Wakili Skuad Negara


KUCHING: Dua atlet Paralimpik Sarawak dipilih mewakili negara ke Sukan Paralimpik Rio 2016 yang akan berlangsung di Brazil dari 7 hingga 18 September depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Fatimah Abdullah berkata atlet-atlet terbabit ialah Jamery Siga yang bertanding dalam acara renang dan Jong Yee Khie menerusi acara angkat berat.

“Saya ingin memaklumkan dua atlet paralimpik kita telah melayakkan diri untuk bertanding pada Sukan Paralimpik Rio 2016 iaitu Jamery Siga dalam acara renang dan Jong Yee Khie acara angkat berat.

“Lebih membanggakan Jong juga terpilih sebagai ‘flag bearer’ kontinjen negara pada Sukan Paralimpik Rio 2016,” katanya pada sidang media di Pusat Media, Pusat Akuatik Sarawak di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan Paralimpiad Ke-18 berkata, jurulatih angkat berat kebangsaan dari Sarawak, Jamal Adam turut serta dalam kontinjen negara pada temasya terbesar dunia itu.

Katanya, seorang atlet paralimpik Sarawak iaitu Sandra Tiong juga dipilih oleh ‘Malaysian Invasion Spirit Emotion’ (MISSIM) bersama dua lagi atlet lain untuk menyertai kontinjen negara sebagai kumpulan sokongan.

“Mereka dibawa ke sana bukan untuk bertanding tetapi sebagai kumpulan sokongan dan pendedahan agar dapat maju dalam acara sukan yang diceburi,” ujarnya.

Fatimah turut berpuas hati dengan kutipan semasa pingat Sarawak sambil percaya kontinjen negeri mampu mencapai sasaran pingat yang ditetapkan.

Setakat semalam, kontinjen negeri masih jauh mendahului dengan kutipan 54 emas, 45 perak dan 53 gangsa.

Tambah beliau, habuan lumayan bakal menanti atlet- atlet paralimpik Sarawak selepas kerajaan meluluskan pemberian insentif kepada pemenang pingat termasuk elaun latihan dengan jumlah kuantum yang sama diterima atlet-atlet SUKMA.

“Ini akan memberi motivasi besar kepada atlet-atlet kita bahawa mereka akan menerima jumlah yang sama dengan diterima atlet-atlet SUKMA,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Pendidikan Awal Kanakkanak dan Pembangunan Keluarga, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA