DOJ: Peguam Negara Akan Hantar Wakil Bertindak



PUTRAJAYA - Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang mempertimbangkan untuk menghantar wakil bertindak sebagai peguam pemerhati pada prosiding saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mengenai sitaan aset-aset yang dikatakan dilesapkan dari IMDB.

"Saya sedang memikirkan idea bahawa mungkin saya atau pegawai saya akan ke sana semasa prosiding. Sekurang-kurangnya untuk menyatakan minat kita kerana kita dengar anda (AS) mahu memberikan wang kepada kita, kita mahu mendengarnya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri upacara mengangkat sumpah dua pesuruhjaya kehakiman.

Beliau juga berkata sebuah firma guaman Amerika Syarikat mungkin juga dilantik dan bersama-sama dengan pegawai kanannya atau bersama beliau untuk menghadiri prosiding itu.

Mohamed Apandi menjelaskan bahawa peguam pemerhati bermakna bahawa wakil akan menghadiri prosiding mendengar saman dan mendengar apa-apa yang terbit dalam prosiding di mahkamah dan mungkin, dengan kebenaran mahkamah, akan bertanya beberapa soalan untuk penjelasan.

Beliau berkata, IMDB adalah sebuah syarikat Malaysia dan kerajaan Malaysia mempunyai kepentingan memandangkan ada tanda-tanda oleh Peguam Negara Amerika Syarikat bahawa mereka akan memulangkan wang yang diseleweng itu kepada Malaysia.

Apandi berkata beliau akan berhubung dengan peguam-peguam Amerika Syarikat untuk membantunya mengenai prosedur berhubung dengan kemungkinan wakil Malaysia bertindak sebagai peguam pemerhati dalam prosiding mendengar saman sivil kerana sistem kehakiman Amerika Syarikat berbeza sama sekali dengan sistem di Malaysia.

“Saya masih mengkaji idea itu. Tetapi belum dinasihatkan oleh para peguam Amerika Syarikat,” kata beliau.

Kepada soalan sama ada tindakan akan diambil ke atas Low Taek Jho yang dinamakan dalam saman sivil itu, Mohamed Apandi berkata siasatan belum selesai.

Beliau, bagaimanapun berkata apabila kertas siasatan siap, beliau akan membuat keputusan sama ada untuk memulakan pendakwaan atau tidak.

“Jika ada bukti, saya akan mendakwa, tiada siapa akan terlepas,” kata beliau.

Pada 21 Julai, tahun ini, DOJ memfailkan saman sivil untuk menyita aset-aset yang diperoleh menggunakan wang yang dikatakan digelapkan dari 1MDB, dana pelaburan kerajaan.

Terdahulu, bekas timbalan peguamcara negara I Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah dan seorang peguam Azmi Abdullah mengangkat sumpah sebagai pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya.

Tun Abd Majid, 55, dari Mentakab, Pahang dan Azmi, 49, dari Kota Bharu, Kelantan menerima surat pelantikan daripada Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin. – Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA