Demam kuning Afrika boleh merebak ke seluruh dunia

Foto AP
LONDON: Penularan demam kuning yang sudah meragut ratusan nyawa di tengah Afrika boleh merebak ke seluruh dunia, kata badan kebajikan kanak-kanak antarabangsa hari ini, walaupun kempen vaksinasi besar-besaran dijangka dijalankan seberapa segera.

Republik Demokratik Congo (DRC) mengisytiharkan wabak demam kuning Jun lalu selepas virus itu merebak dari Angola, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 360 kematian sejak Disember lalu dalam penularan paling buruk dalam masa beberapa dekad.


Usaha meluas untuk mengawal wabak itu dengan memberi vaksin kepada lebih 10 juta penduduk di DRC dijangka bermula minggu ini selepas ditangguhkan berikutan kekurangan vaksin dan jarum suntikan.

"Tiada penawar bagi demam kuning dan ia boleh merebak ke seluruh dunia," kata pengarah Save the Children bagi DRC, Hether Kerr, dalam kenyataan.

Vaksin demam kuning mengambil masa untuk dihasilkan. Pertubuhan itu berkata, cuma ada tujuh juta vaksin kecemasan selepas stok habis dalam siri penularan yang berlaku awal tahun ini.

Penasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan penggunaan satu perlima daripada dos vaksin standard jika berlaku kekurangan global, mencukupi untuk imunisasi sementara tetapi bukan seumur hidup.


"Kami perlu segera tiba kepada seramai kanak-kanak dan keluarga yang boleh dengan sisa bekalan yang ada, dan ini satu-satunya cara boleh dilakukan ketika ini," kata Kerr.

WHO menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 8.5 juta penduduk di ibu negara DRC, Kinshasa dan 3.4 juta lagi di kawasan sempadan negara itu sebelum musim hujan Oktober ini, untuk mengurangkan risiko penularan penyakit bawaan nyamuk itu.

Keseluruhan 2,269 kes disyaki dan 16 kematian dilaporkan di DRC menjelang 8 Ogos lalu, kata WHO. - REUTERS

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA