DBKU Akan Beri Perkhidmatan Terbaik Disebalik Pengurangan Cukai Pintu



KUCHING: Pengurangan kadar cukai taksiran atau cukai pintu di negeri ini bukan alasan untuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tidak memberi perkhidmatan terbaik kepada warga kota.

Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, DBKU akan berusaha untuk memberikan perkhidmatan lebih baik dengan penglibatan komuniti setempat.

Malah menurutnya, kerjasama dengan masyarakat juga amat penting untuk memastikan inisiatif DBKU mensejahterakan bandar raya dapat direalisasikan.

"Sugguhpun kita berdepan penurunan cukai pintu, ia bukan bermakna kita memberi perkhidmatan yang kurang.

"Kita akan usahakan lebih baik dengan adanya penglibatan komuniti sendiri," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan DBKU Edisi Ogos 2016 hari ini.

Menurut Abang Wahap lagi, tunggakan cukai pintu bukan masalah besar kepada DBKU.

"Tunggakan pembayaran cukai memang ada setiap tahun namun kita sentiasa berusaha untuk mendapatkan balik bayaran. Mungkin disebabkan lupa dan ia bukan masalah besar kepada kita," ujarnya.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian anugerah persaraan dan perkhidmatan 25 tahun kepada empat warga kerja DBKU yang bersara dan 27 orang berkhidmat melebihi 25 tahun.

Mereka yang bersara menerima sijil penghargaan dan cenderamata manakala warga kerja berkhidmat melebihi 25 tahun menerima sijil penghargaan serta pelaburan ASB bernilai RM500. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA