Dasar Luar Malaysia Perlu Berasaskan Persahabatan, Elak Lonfrantasi - Najib


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya dasar luar Malaysia perlu bersandarkan kesederhanaan dan membina perhubungan yang memanfaatkan Negara dan rakyat.

Jelasnya, cara itu dipilihnya bagi membawa Malaysia berganjak daripada pendekatan terdahulu yang disifatkannya konfrantasi dan mengundang ketegangan dan pertikaian negara lain.

Berucap merasmikan Persidangan Dwi Tahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2016 di sini hari ini, perdana menteri berkata bahawa untuk berdekad lamanya Malaysia memiliki pemimpin yang menerapkan konfrantasi dalam dasarnya dengan negara luar, berkemungkinan untuk kepentingan peribadi.

"Tetapi sejak saya menjadi Perdana Menteri, saya memilih untuk membawa kelainan dan memecah pendekatan terdahulu.

"Saya memutuskan bahawa seharusnya kepentingan dan hasrat kerajaan diletakkan di hadapan kepentingan politik peribadi," tegasnya.

Katanya, pembinaan hubungan dan kerjasama ekonomi tanpa membangkitkan sengketa lama dengan negara lain memupuk keamanan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Hasilnya, hubungan damai antara Malaysia dengan Singapura misalnya telah membawa kepada tercapainya resolusi dalam Point of Agreement pada 2010 selepas 20 tahun tergendala.

Selain itu, beliau dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong juga bersama menyaksikan memorandum persefahaman antara dua negara ditandatangani, yang katanya akan membawa banyak manfaat kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat seperti pembinaan sistem kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura tidak lama lagi.

Malaysia juga menjadi pemudah cara dengan mengendalikan rundingan damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro bagi menyelesaikan kemelut pemberontakan terlama di Asia itu.

"Ia antara contoh bagaimana kita memilih jalan ke hadapan dalam semangat persahabatan dan manfaat kedua-dua belah pihak, meninggalkan di belakang blok penghalang yang sekian lama memisahkan kita," ujarnya.

Anjakan pendekatan itu juga kata Perdana Menteri sebagai inovasi dalam pentadbiran awam yang menjadi elemen penting dalam melonjak keupayaan sektor itu kepada potensi sebenarnya, dan menjadikan Malaysia sebagai negara contoh.

Pada masa yang sama, beliau percaya usaha mendekati negara-negara lain perlu mengekalkan pendirian yang bebas, berkecuali dan berprinsip tanpa mengira sistem dan ideologi politik dalam hal ehwal di peringkat serantau dan antarabangsa.

Bagaimanapun, Malaysia tegasnya tidak percaya kepada campur tangan asing dalam hal ehwal domestik negara-negara lain.
"Kami bertegas bahawa zaman di mana kuasa imperial boleh memberi arahan tentang bagaimana untuk sesebuah negara menjaga tingkah laku baik, baik dari segi politik, ekonomi atau budaya, sudah berlalu," katanya.

Majlis perasmian turut dihadiri Setiausaha Agung Negara-Negara Komanwel, Patricia Janet Scotland QC dan Ketua Setiausaha Negara yang juga Presiden CAPAM, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dengan tema 'Inovasi: Kepentingan Kepada Perkhidmatan Awam', CAPAM mengumpulkan lebih 1,000 delegasi dari 53 negara Komanwel untuk berkongsi idea, pendapat dan amalan dalam penyampaian perkhidmatan berpaksikan rakyat.- Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA