DAP mahu permit rakyat bukan Sarawak di Petronas ditarik balik

Kerajaan Sarawak perlu menarik balik permit kerja dan permit masuk rakyat bukan Sarawak untuk kerja pengurusan dan pengurusan pertengahan di Petronas cawangan negeri, kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Ketua Pembangkang Sarawak membuat gesaan itu kerana pengambilan pekerja bagi operasi Petronas Sarawak perlu mengutamakan rakyat Sarawak.

Menurut Chieng Jen, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada November 2014 memaklumkan Dewan Undangan Negeri bahawa Petronas bersetuju untuk melebihkan penyertaan rakyat Sarawak dari segi sumber manusia, pendidikan dan latihan teknikal.

“Namun, dalam hal guna tenaga operasi Petronas di Sarawak, rakyat Sarawak masih tidak didahulukan,” katanya.

Chieng Jen mengeluh hampir dua tahun selepas pengumuman Adenan itu, sebahagian besar jawatan kanan Petronas di Sarawak dipegang oleh rakyat bukan Sarawak.

“Hanya 39% daripada jawatan pengurusan dan 46% jawatan pengurusan pertengahan diisi rakyat Sarawak.

“Tetapi, apabila Petronas melaksanakan rombakan, syarikat minyak dan gas negara itu cepat memecat pekerja Sarawak yang berpengalaman tanpa pertimbangan untuk menugasi semula mereka ke kerja-kerja lain dalam Kumpulan Petronas,” katanya.

Chieng Jen berkata kerajaan negeri perlu mengambil kira rakyat dari Semenanjung yang bekerja untuk Petronas di Sarawak disyaratkan supaya memiliki permit masuk dan permit kerja untuk masuk ke Sarawak, dan kuasa untuk memberikan permit tersebut terletak pada budi bicara kerajaan negeri.

Maka, beliau mahu kerajaan negeri menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 70% rakyat Sarawak untuk jawatan peringkat pengurusan dan pengurusan pertengahan.

Selagi sasaran tidak tercapai, Chieng Jen menyarankan pentadbiran Adenan supaya menarik balik permit kerja dan permit masuk kakitangan pengurusan dan pengurusan pertengahan sedia ada yang berasal dari Semenanjung.

“Hanya melalui tindakan keras seperti ini boleh kita pastikan Petronas akur kepada permintaan kita supaya beri lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak.

“Apabila kerajaan negeri dengan cepat melarang kemasukan ahli politik pembangkang masuk ke Sarawak semasa pilihan raya negeri lepas bagi melindungi kepentingan BN, tidak ada sebab kuasa yang sama tidak boleh digunakan untuk melindungi kepentingan rakyat Sarawak umumnya dalam hal peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” kata Chieng Jen.

Awal hari ini, sebuah badan nirlaba Sarawak, Kumpulan Suarah Petroleum (SPG) dilaporkan menyeru Petronas supaya mengutamakan rakyat Sarawak untuk mengisi kekosongan dalam operasinya di negeri itu. - FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA