Dalang kes bunuh Bill Kayong masih bebas


MIRI: Polis Sarawak masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Interpol bagi mengesan kedudukan Datuk Stephen Lee yang didakwa menjadi dalang dalam kes pembunuhan aktivis sosial yang juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri Bill Kayong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata pihaknya telah meminta Interpol Malaysia mengesan kedudukan Lee yang dipercayai berada di luar negara.

“Sehingga kini (semalam) kami masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Interpol,” katanya ketika dihubungi di Kuching, semalam.

Menurut Dev, polis telah mengemukakan permintaan tersebut (mengesan Lee) kepada Interpol dan mereka perlu memproses perkara tersebut.

Menurut sumber, satu laporan bertarikh 22 Julai lalu menunjukkan masih tidak ada tanda-tanda nama Lee dalam senarai ‘orang dikehendaki’ oleh Interpol.

Ditanya mengenai lesen senjata api milik Lee yang sepatutnya diperbaharui pada 30 Jun setiap tahun, Dev berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut tidak lama lagi.

Pada 21 Jun lalu, Bill ditembak mati menggunakan senapang patah di hadapan lampu isyarat berdekatan pusat komersil E-mart di Tudan.

Sehubungan itu, seorang lelaki, Mohamad Fitri Pauzi, 29, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill manakala seorang lagi, Lie Chang Loon, 37, ditahan atas dakwaan bersubahat.

Kertas pertuduhan turut membabitkan dua suspek lain dan Lee yang masih bebas.

Berikutan itu, polis Sarawak meminta bantuan Interpol memburu dalang yang didakwa terbabit dalam pembunuhan Bill.

Bercakap kepada media di sini pada 11 Ogos lalu di luar Mahkamah Miri, Dev mendedahkan bahawa hasil penyiasatan polis mendapati dalang dikenali sebagai Datuk Stephen Lee, 45, beralamat di Lot 290, Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang, Miri telah melarikan diri dari Miri ke Singapura pada 23 Jun lalu.

“Beliau kemudian menaiki pesawat menuju ke Melbourne, Australia pada 3 Julai dari Singapura dan sejak itu lokasi Lee tidak diketahui dan pasukan petugas menyiasat kes tersebut meminta bantuan Interpol mengesan suspek yang kini dipercayai masih berada di luar negara,” katanya.

Dev berkata selain Lee dua lagi suspek masih diburu ialah Kong Sien Ming, 35, pemilik sebuah pusat hiburan di sini dan Chin Wui Chung @ Ah Chung, 50, yang juga pembantu peribadi Lee.

Sehubungan itu, Dev merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek supaya menghubungi polis bagi membolehkan suspek terbabit diheret ke mahkamah untuk pengadilan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA