Cuma Sementara Jika Objektif Utama Hanya Singkir Najib


KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing yakin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan kekal lama jika objektif utamanya ialah menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, rata-rata pemimpin serta orang di sebalik BERSATU adalah bekas ahli UMNO yang pernah bersumpah menyokong parti itu serta Najib.

Namun, katanya, sekarang kumpulan itu kelihatannya mahu memusnahkan UMNO agar Najib dapat disingkirkan sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti.

“Ia jika benar adalah pendekatan yang salah, begitu juga dengan prinsip parti itu. Masyarakat Melayu juga tidak akan menyokong mereka.

“Keadaan ini akan menyebabkan BERSATU tidak akan kekal lama sebagai sebuah organisasi politik,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan bagaimanapun tidak menolak BERSATU akan menarik penyertaan komuniti Dayak.

Ini kerana, menurutnya, Dayak sangat liberal dalam fahaman politik mereka, malah ketika ini kelihatan ramai dalam kalangan kaum itu menjadi ahli semua parti politik termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

“Oleh itu, tiada alasan Dayak tidak akan menyertai BERSATU. Persoalan utama adakah ia akan memberi impak besar dan dapat menggantikan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Senada dengan Masing, Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi berkata sama ada BERSATU akan memberi impak atau sebaliknya kepada BN negeri, ia masih belum diketahui lagi.

Bagaimanapun, tegas Menteri Kemudahan Awam itu, hakikatnya BERSATU mungkin sebuah parti politik baharu tetapi orang di sebaliknya masih muka lama yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan hari ini dan sarat dengan agenda peribadi.

“Adakah anda fikir mereka akan berubah atau adakah kita sekali lagi akan terperdaya?

“Bagi saya adalah lebih baik (kita) memfokus kepada usaha berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat seperti yang dijanjikan. Kita malah rakyat saya percaya sudah bosan dengan politik,” tegasnya.

BERSATU didaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kelmarin oleh presiden sementaranya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang dipecat keahlian UMNO baru-baru ini berkata parti baharu itu terbuka kepada rakyat Malaysia semua kaum termasuk di rakyat Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, tegasnya, ahli bukan Bumiputera hanya dibernarkan menjadi ahli bersekutu yang tidak boleh bertanding sebarang jawatan atau mengundi dalam pemilihan parti.

Muhyiddin dipetik oleh sebuah portal berita sebagai berkata, “Kami mahu menjadi inklusif. Walaupun (keahlian) mereka (bukan Bumiputera) tidak sama tetapi kita akan memberi mereka pengiktirafan.

“Kami mahu mereka mainkan peranan dalam memberi idea, saya fikir mereka mempunyainya (idea). Jadi, kita akan mempunyai ahli biasa dan kita juga akan ada ahli-ahli bersekutu.”

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA