Claire Brown Patut Bimbang Pasal Nasib Britain, Bukannya Malaysia

Sekiranya dirujuk kepada fakta kiraan nisbah antara Hutang Negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tempoh 10 tahun bermula pada tahun 2006 hingga 2015, nisbahnya telah meningkat dari 41.5 peratus kepada 54 peratus.

Dan jika dirujuk pula pada kiraan nisbah Hutang Negara kepada KDNK United Kingdom (UK), juga pada tempoh yang sama, maka nisbah peningkatannya adalah dua kali ganda dari 42.4 peratus pada tahun 2006 hingga mencapai nisbah 89.2 peratus pada tahun 2015.

Bagi tempoh yang sama juga kita menyaksikan nilai Pound Sterling telah menyusut berbanding Ringgit Malaysia. Dari nilai 1 Pound Sterling bersamaan dengan RM7.14 pada tahun 2007, ia menyusut kepada RM5.15 untuk nilai semasa hari ini.

Berdasarkan fakta tentang hutang kepada KDNK itu, maka jelaslah kedudukan Malaysia tidaklah seburuk UK. Peliknya, ada yang gelabah mendakwa kononnya negara kita akan bankrap kerana bebanan hutang sedangkan UK yang lebih teruk pun ‘relaks’ sahaja. Mungkin itulah ‘pakar ekonomi media sosial’.

Sesiapa yang ingat pada apa yang berlaku sekitar tahun lepas, ramai yang merungut kononnya nilai Pound Sterling meningkat jauh lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia. Kononnya RM6.75 bagi 1 Pound Sterling pada tahun 2015 berbanding pada nilai RM5.25 hingga RM5.50 itu terlalu tinggi dan ‘membebankan’ mereka.

Maka bisinglah mereka seantero dunia kononnya ada pelajar Malaysia di UK yang bagaikan ‘mati kebuluran’ gara-gara peningkatan nilai Pound Sterling berbanding Ringgit. Lantas mereka hentamlah kerajaan tanpa usul periksa…

Namun mereka ‘buta’ pada fakta yang menunjukkan bahawa keadaan ekonomi UK adalah lebih buruk berbanding Malaysia. Negara itu mengalami kemelesetan ekonomi dan pertumbuhan ekonomi yang kecil dalam tempoh 10 tahun ini.
Hutang mereka kepada KDNK meningkat dua kali ganda, kadar GST di negara mereka juga dinaikkan dari 17 peratus kepada 20 peratus, kadar pengangguran yang tinggi dan harga petrol mereka adalah antara yang tertinggi di dunia.

Dalam masa yang sama, kedudukan ekonomi UK dijangka akan bertambah buruk hasil kesan keputusan rakyat di negara itu yang mahu negara mereka keluar dari Kesatuan Eropah. Menurut penganalisis ekonomi dunia, ‘Brexit’ merugikan UK dari sudut pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, jika dilihat pula dari sudut sosiologi dan sentimen rakyat di UK, kita dapati negara itu telah menjadi mangsa serangan dari puak militan dan pengganas yang melakukan serangan-serangan terancang. Ia menggugat keamanan negara dan keselamatan masyarakat di sana.

Ditambah pula dengan sikap ‘Islamophobia’ oleh masyarakat bukan muslim di negara berkenaan, ia memberikan kesan yang lebih buruk kepada sentimen ‘anti Islam’ dan wujud perasaan prejudis di kalangan mereka hingga membawa kepada tahap ‘UK tidak lagi aman’.

Yang menghairankan penulis, ramai juga rakyat Malaysia yang masih cenderung ‘pandang ke UK’. Mereka beli rumah di sana yang harganya jauh lebih mahal berbanding di Malaysia, malah ramai juga yang menetap di sana.

Alasan mereka, kononnya ‘gaji lumayan’ dan ‘lebih aman’ merupakan tarikan untuk migrasi dan menetap di negara itu. Sedangkan, fakta jelas menunjukkan keadaan ekonomi UK adalah kurang memuaskan dan situasi di sana adalah lebih ‘kacau bilau’ berbanding di negara sendiri, bukan?

Lebih ‘gila’ lagi, mereka yang mendewakan UK itulah juga yang memburuk-burukkan negara dan kerajaan sedangkan faktanya adalah sangat bertentangan dengan persepsi yang cuba dilemparkan. Mereka bercakap dengan fakta atau sekadar memenuhi kehendak persepsi?

Pada pandangan penulis, selaku seorang warganegara yang sangat ‘sensetif’ terhadap keadaan ekonomi negara dan rakyat, pemilik Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown sepatutnya pedulikan tentang UK terlebih dulu berbanding Malaysia.

Negara sendiri pun ‘koyak rabak’, ‘compang camping’ menjunam jatuh ke bawah grafnya, maka ambil tahu dulu tentang UK. Jangan menyibuk di negara orang yang kedudukannya jauh lebih baik berbanding negara sendiri.

Claire perlu cermin diri sendiri. Suluh negara sendiri sebelum ‘serang’ negara orang. Jika benar berani sangat ‘kacau’ negara orang, jejaklah kaki ke negara ini. Penulis yakin bahawa PDRM sedang menunggu dengan ‘surat cinta’ bertulis ‘waran tangkap’ untuknya… - MYKMU

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA