CIMB Tutup 23 Cawangan Di Seluruh Negara


KUALA LUMPUR : CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB Group) menutup 23 cawangannya sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan operasi dan juga menumpukan kepada perkhidmatan perbankan digital.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sejak Ogos 2015, sebanyak 22 cawa­ngan CIMB Bank di seluruh Malaysia telah ditutup dan satu lagi akan ditutup menjelang akhir 2016.

Katanya, semua kakitangan terlibat telah dipindahkan ke cawangan lain dan pihak bank tidak bercadang untuk membuka cawangan baharu berikutan peng­optimuman digital adalah cara untuk mengukuhkan kedudukan pasaran.

“CIMB Group sedang giat memanfaatkan teknologi bagi me­ningkatkan jumlah pelanggan dan pelan rasionalisasi cawa­ngan adalah berdasarkan konsep mudah untuk diakses.

“Kebanyakan pelanggan kini lebih selesa dengan teknologi dalam menjalankan urusan perbankan dan kami perlu peka de­ngan trend ini dalam memenuhi permintaan,” katanya kepada pemberita selepas meng­umumkan keputusan kewangan separuh pertama 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ke­tua Pegawai Kewangan Kumpulan CIMB Group, Shahnaz Jamal.

CIMB Group mencatatkan pe­ningkatan untung bersih seba­nyak 1.7 peratus kepada RM1.67 bilion bagi enam bulan pertama ber­akhir 30 Jun 2016 berbanding RM1.66 bilion pada separuh pertama tahun lalu.

Jumlah pinjaman kumpulan berkembang sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun didorong oleh perbankan pengguna manakala jumlah deposit meningkat 7.1 peratus tahun ke tahun.

Menurut Tengku Zafrul, CIMB Group menyemak semula sasaran pertumbuhan pinjaman tahun ini daripada 10 peratus kepada antara enam hingga tujuh peratus sejajar dengan persekitaran operasi semasa yang mencabar.

“Kumpulan juga menyemak semula unjuran pulangan ke atas ekuiti (ROE) daripada 10 peratus kepada sembilan peratus seiring dengan jangkaan pasaran,” tambah beliau.

- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA