Chong Wei: Tiga Pingat Perak untuk Tiga Olympik berturut-turut

foto: kualalumpur post

KUCHING: Jaguh Badminton negara Datuk Lee Chong Wei sekali lagi mencipta kegembiraan buat rakyat Malaysia apabila berjaya meraih pingat perak yang ketiga buat dirinya dan menambah koleksi bersejarah negara menerusi tiga Olympik berturut-turut.

Pada Olympik di Rio sebentar tadi, Chong Wei memenangi pingat perak pada perlawanan akhir Badminton perseorangan lelaki, setelah tewas kepada Chen Long dari China 18-21,18-21.

Pingat perak kali ini adalah yang ketiga berjaya dimenangi Chong Wei dalam tiga temasya Olympik pada 2008,2012 dan terkini 2016.

Biarpun tewas kepada saingannya, Chong Wei tetap berjaya menawan hati seluruh rakyat Malaysia yang rata-rata menyatakan kebanggaan mereka terhadap persembahan perlawanan akhir tersebut yang disiarkan secara langsung dari Rio, Brazil.

Disifatkan sebagai penampilan Olympik paling cemerlang dalam sejarah negara, Malaysia kali ini berjaya pulang dengan empat pingat perak dan satu gangsa.

Terdahulu, tiga pingat perak berjaya diraih Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong dalam acara terjun 10 meter platform seirama, beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Manakala pingat Gangsa dimenangi Azizulhasni Awang menerusi acara berbasikal lelaki keirin. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA