Cadangan Akta Perlindungan Guru Akan Diteliti


TANAH MERAH – Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata pihaknya akan meneliti cadangan mewujudkan Akta Perlindungan Guru bertujuan melindungi warga pendidik ketika melaksanakan tugas.

Beliau berkata sehingga kini tiada sebarang akta khusus diwujudkan bagi menjaga kepentingan guru di negara ini.

“Kami perlu melihat skop perlidungan kepada guru yang perlu diberikan perhatian apabila cadangan berkenaan mahu dilaksanakan, yang meliputi perkara-perkara yang terdapat dalam konteks penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Dalam Parlimen Tanah Merah di Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan dirasmikan anggota Parlimen Tanah Merah merangkap Ketua UMNO bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisyam Abd Aziz.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Pendidikan meneliti cadangan supaya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi warga pendidik di zaman yang semakin mencabar sekarang. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA