Budak buta 5 tahun hafal Quran hanya dengar radio


Jeddah: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang buta sejak lahir berjaya melakukan sesuatu yang tidak ramai mampu lakukan.

Dia menghafal kitab suci al-Quran hanya dengan mendengar radio.

Kisah mengenai kanak-kanak Myanmar ini bermula di Jeddah apabila bapanya yang menyedari dia tidak dapat menonton televisyen, membelikannya radio.

Si bapa, Mohammad Tahir berkata, dia memasang stesen radio yang menyiarkan bacaan kitab suci itu sepanjang 24 jam setiap hari sebagai usaha menanamkan minat dan cinta anaknya kepada kalam Allah itu.

“Saya langsung tidak menyangka anak saya memperoleh faedah daripada radio dengan menghafal al-Quran. Saya mulanya tidak sedar Hussein menghafal kitab suci itu sejak membeli radio tiga tahun lalu,” kata Mohammad Tahir.

Apabila berpindah dari Jeddah ke Madinah, Hussein meminta bapanya membawanya ke Masjid Nabawi.

“Di sana, dia membaca seluruh surah Al-Baqarah di masjid berkenaan. Saya sungguh terkejut.

“Untuk mengesahkan kemampuan Hussein, saya membawanya ke beberapa hafiz. Mereka mengesahkan kebolehkan anak saya dan berkata, dia hanya memerlukan sedikit bimbingan untuk memperelokkan bacaannya,” kata Mohammad Tahir.

Hussein kemudian dimasukkan ke kelas penghafalan al-Quran untuk kanak-kanak kurang upaya di Masjid Nabawi.

“Saya bersyukur kepada Allah (SWT) kerana disebalik kecacatan Hussein, dia mempunyai kelebihan lain,” kata Mohammad Tahir.-Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA