Bom: Thailand Minta Kerjasama Malaysia


THAILAND: Pihak keselamatan Thailand meminta kerjasama‎ Malaysia membantu siasatan mereka berhubung siri kejadian letupan bom di beberapa wilayah selatan negara ini semalam dan kelmarin, yang mengorbankan empat orang dan mencederakan 35 orang lagi.

Sumber keselamatan berkata Thailand meminta Malaysia untuk membantu menyiasat sebuah telefon bimbit yang digunakan dalam kejadian letupan bom di Phuket semalam, yang dikatakan berasal dari Malaysia.

"Letupan bom itu tidak memusnahkan sebahagian telefon bimbit itu dan nombor siri Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) pada telefon itu masih kelihatan...penyiasat Thailand meminta kerjasama Malaysia untuk mengenal pasti asal usul telefon itu," kata sumber berkenaan kepada Bernama hari ini.

Serpihan telefon bimbit itu yang mengandungi nombor siri merupakan bukti penting dalam siasatan pihak berkuasa negara ini bagi mengenal pasti dan menjejaki pelaku atau pelaku-pelaku yang bertanggungjawab terhadap kejadian letupan bom itu, katanya.

Sumber itu, yang enggan mendedahkan identitinya berikutan maklumat dikongsinya adalah sensitif, berkata serpihan telefon bimbit bersama-sama nombor sirinya telah pun diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kad SIM (Subsciber Identity Module) telefon bimbit berkenaan bagaimanapun dipercayai musnah dalam kejadian letupan bom itu, kata sumber itu.

Dalam siri kejadian letupan bom di wilayah-wilayah selatan Thailand, telefon bimbit dijadikan alat untuk mengaktifkan bom-bom buatan sendiri (IED) itu.

Dua butir bom buatan sendiri meletup di pulau peranginan terkenal Phuket semalam, setiap satu di Patong dan Kathu pada 7.45 pagi (waktu tempatan) dan 8.45 pagi tetapi hanya menyebabkan seorang cedera ringan.

Pada 10 Ogos lepas, pihak keselamatan tempatan menemui dua butir bom buatan sendiri hasil maklumat orang ramai di Paradise Market dan China Town Market di Phuket, dan berjaya mematikannya.

Ia merupakan sebahagian daripada kejadian letupan bom yang turut berlaku di pusat peranginan Hua Hin pada Khamis dan pagi semalam, yang mengorbankan dua orang dan mencederakan puluhan lain termasuk 10 pelancong asing.

Dua letupan bom turut berlaku di Surat Thani semalam yang menyebabkan seorang mati dan kejadian letupan bom di sebuah pasar di Trang dua hari lepas juga mengorbankan satu nyawa.

Selain letupan bom, beberapa serangan khianat turut dilaporkan berlaku di wilayah-wilayah selatan Thai itu.

Sumber itu berkata, walaupun nombor siri telefon bimbit berkenaan diperoleh namun, ia bukan usaha mudah untuk menjejaki pemiliknya kerana telefon itu berkemungkinan bertukar tangan beberapa kali.

"Ia terpaksa melalui kerja yang rumit untuk membuat semakan terhadap ribuan atau ratusan ribu telefon bimbit jenis yang sama daripada syarikat pengedar dan penjualnya," katanya.

Menurutnya usaha menjejaki pemilik telefon bimbit itu lebih mudah sekiranya penyiasat menemui kad SIM.

Media tempatan memetik pasukan penyiasat yang merumuskan bahawa kesemua kejadian letupan bom itu berkaitan satu sama lain berikutan peralatan yang digunakan adalah sama serta penggunaan telefon bimbit sebagai alat mengaktifkan bom-bom itu. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA