Bit bidas kenyataan Lo kerana tidak fahami maksud prinsip BN


SIBU: Ketua Publisiti Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bit Surang membidas kenyataan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu (UPP) George Lo yang dianggapnya tidak memahami maksud prinsip Barisan Nasional (BN).

Katanya Lo hanya mengeluarkan pendapat peribadi dan tidak tahu menahu tentang persefahaman antara parti komponen BN.

“Tindakan Lo mengurangkan peluang UPP untuk menyertai BN,” katanya dalam kenyataan media menerusi aplikasi WhatsSapp di sini, semalam.

Dalam kenyataan diterbitkan akhbar semalam, Lo membidas kenyataan Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing yang menganggap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa dan ADUN Opar Ranum Mina berhasrat kembali semula kepada UPP adalah bertentangan dengan persefahaman yang dipersetujui sebelum ini.

Lo dipetik berkata, keputusan wakil rakyat itu bukan urusan Masing dan itu hak mereka untuk membuat keputusan.

Bit memberitahu bahawa tindakan Lo itu hanya akan mengeruhkan keadaan UPP dalam usahanya menyertai parti komponen.

“UPP boleh disingkirkan berikutan tindakan Lo yang dianggap angkuh dan sombong menerusi kenyataannya yang diterbitkan dalam akhbar semalam.

“Lebih baik Lo bercakap untuk kebaikan UPP. Lo lebih baik diam untuk kebaikan UPP,” katanya.-BP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA