Bersatulah, Ketepi Perbezaan Politik


SHAH ALAM - Di sebalik raut wajahnya yang tenang dan sentiasa tersenyum, Prof Madya Hashim Hassan, 78, menyimpan segunung harapan untuk melihat rakyat Malaysia yang berbeza fahaman politik kembali bersatu sempena Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

Ternyata kekangan berkerusi roda disebabkan masalah kesihatan dan 'slipped disc' (cakera tergelincir), tidak membantutkan impian bekas pensyarah yang digelar Bapa Logo Hari Kebangsaan itu untuk terus melihat negara kekal aman dan makmur.

"Kenapa tidak (boleh) bersatu...seperti biduk lalu kiambang bertaut, marilah bersama-sama kembali bersatu dan ketepikan perbezaan politik. Bila bersatu kita rasa lebih kuat dan menambah lagi keceriaan hidup...kenapa nak berpecah-belah.

"Hubungan antara kaum Cina, Melayu, India dan bangsa lain harap terus kukuh kerana jika tiada semua itu negara kita akan musnah...tiada perpaduan bermakna negara kita menuju ke arah kehancuran. Kekuatan negara terhasil daripada perpaduan antara semua kaum di negara ini, itu harapan saya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditanya harapannya sempena sambutan hari bersejarah itu pada 31 Ogos ini.

Pada tahun lepas, Hashim menerima penghormatan sebagai Bapa Logo Hari Kebangsaan kerana mencipta logo Hari Kebangsaan selama sembilan tahun seperti yang diamanahkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 1980, 1981, 1982, 1983, 1984, 1985, 1986, 1987 dan 1991.

Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama 33 tahun sebelum bersara pada 2003, dan kemudian menyambung khidmat di Universiti Selangor (Unisel) dalam bidang yang sama pada 2006 hingga 2013.

Hashim berkata Hari Kebangsaan sememangnya cukup bermakna bagi dirinya lebih-lebih lagi beliau pernah mencipta sebanyak sembilan logo hari bersejarah itu.

"Hari Kebangsaan sampai sekarang sangat terasa. Setiap logo yang saya hasilkan ada kesannya kerana setiap logo dihasilkan mengikut tema. Kita akan mengingati dan sayang pada negara melalui logo-logo ini," katanya yang memiliki Ijazah Sarjana daripada Universiti Ohio, Amerika Syarikat dalam Pendidikan Seni pada 1974.

Menyentuh mengenai semangat patriotik ke atas generasi muda, beliau berkata perkara itu perlu dipupuk dalam diri mereka sejak kecil lagi.

Tambahnya, generasi muda perlu merasakan hari Kebangsaan sebagai satu peristiwa yang mencuit jiwa mereka.

"Mereka (generasi muda) mesti (didedahkan) dengan asas suka hidup di negara kita, senangnya hidup di negara kita, hebatnya negara kita. Kalau itu dapat dirasakan akan timbul perasaan sayangkan negara.

"Ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya...generasi muda sekarang terdedah dengan pelbagai gajet, justeru, semangat patriotik ini perlu disemaikan dalam diri mereka sejak di bangku sekolah lagi seperti meminta mereka mengibarkan Jalur Gemilang dan mengadakan pertandingan pakaian Hari Kebangsaan," katanya.

Hashim dalam pada itu meluahkan rasa terkilan dengan kurangnya semangat untuk menyambut Hari Kebangsaan apabila mendapati tidak banyak tempat yang mengibarkan Jalur Gemilang.

"Jalur Gemilang tidak dikibarkan di semua tempat, hanya kawasan tertentu sahaja. Semangat nak naikkan bendera tiada...dulu orang ramai semangat kibarkan bendera di kereta, rumah-rumah tetapi sekarang dah kurang," katanya sebelum mengakhiri bicara. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA