Bermula Dengan Mencuba Nasib, Azman Kini Jadi Tukang Kasut Dikenali


KUCHING: Bermula dengan hanya mencuba nasib pada tahun 1998 membuatkan Azman Niah Osman Abdullah menceburi perniagaan khidmat membaiki kasut yang bertahan sehingga sekarang.

Berusia 46 tahun, ayah kepada enam orang anak itu bertekad untuk terus menjalankan perniagaan khidmat membaiki kasut yang mempunyai permintaan tinggi.

Menurutnya, pelbagai kerja pernah dilakukannya namun khidmat membaiki kasut amat dekat dihatinya biarpun tidak meminati pekerjaan tersebut pada permulaan.

"Tiada pilihan lain dan saya pernah bekerja dalam pelbagai bidang termasuk membantu keluarga berniaga. Saya diajak oleh seorang kawan untuk membaiki kasut.

"Pada mulanya saya tidak berminat namun lama kelamaan ia menjadi punca pendapatan untuk saya menyara keluarga," katanya.

Setakat ini jelasnya, tiada masalah besar dalam menjalankan perniagaan tersebut kerana paling adalah bertanggungjawab dengan kasut yang dihantar pelanggan.

"Pelanggan biasanya menghantar kasut untuk dibaiki di rumah atau di sini (tempat berniaga)," ujarnya yang menjalankan khidmat membaiki kasut di Jalan Satok.

Biasanya kata Azman, sepasang kasut atau selipar mengambil masa 15 hingga 30 minit untuk dibaiki bergantung kepada kerosakan.

"Ia bergantung kepada kerosakan kerana membaiki kasut termasuk mengegam dan menjahit," jelasnya yang menjelaskan sepasang kasut dikenakan bayaran RM8 hingga RM30 bergantung kepada kerosakan.

Tukang kasut yang berasal dari Miri itu turut melahirkan rasa bersykur kerana anak keduanya sudah mula mengikut jejaknya.

"Sekarang anak saya juga mahir membaiki kasut dan dia membantu saya setiap hari," kata Azman. -Sarawakiana.










No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA