Bencana 'Api Dan Air' Di AS: Pasukan Menyelamat Bertungkus-Lumus Beri Bantuan


LOUISIANA: Amerika Syarikat (AS) sepanjang minggu ini berdepan dengan impak bencana alam yang berganda apabila banyak kawasan kini diisytihar darurat berikutan kejadian banjir dan juga kebakaran hutan.

Terdahulu, negeri di sebelah tenggara AS, Louisiana, telah menyaksikan sejumlah 13 orang terkorban akibat bencana banjir manakala lebih daripada 100,000 orang telah mendaftar untuk mendapatkan bantuan kecemasan daripada pemerintah.

Hujan lebat yang bermula sejak 11 Ogos menyebabkan banyak kediaman ditenggelami air bah. Dalam hanya beberapa hari, banyak kawasan di negeri tanah rendah itu mencatatkan penerimaan hujan sebanyak 79cm.

Kawasan paling tinggi di Lousiana hanyalah 165 meter di atas paras laut.

Walaupun dikritik kerana kelewatan bantuan, Presiden Barack Obama yang akhirnya berkesempatan untuk melawat lokasi bencana pada Selasa, menggesa setiap lapisan masyarakat agar sama-sama memberikan pertolongan.

“Saya meminta setiap rakyat Amerika untuk membantu keluarga dan perniagaan tempatan kembali beroperasi. Ada ramai orang yang boleh membantu di sini. Mereka (mangsa) tidak perlu menghadapinya sendiri,” ujar Obama.

Pasukan Pengawal Kebangsaan telah dikerahkan ke kawasan bencana sementara kerajaan persekutuan telah meluluskan lebih AS$120 juta untuk menampung keperluan pusat perlindungan sementara, kos baik pulih rumah dan pembayaran insurans banjir.

Malapetaka itu mengingatkan kepada kejadian Taufan Katrina pada 11 tahun lalu yang mengorbankan nyawa serta memusnahkan banyak harta benda.


Peta menunjukkan kawasan yang dilanda bencana banjir di sebelah tenggara AS.


Api semakin marak

Sementara itu, AS turut menumpukan kepada usaha membanteras masalah kebakaran hutan yang semakin membimbangkan.

Gabenor Washington Jay Inslee telah mengisytiharkan status darurat di 20 mukim di sebelah timur negeri itu berikutan api yang semakin marak hingga menjejaskan tanah beribu-ribu ekar, memaksa perpindahan segera dan memusnahkan kediaman.

Inslee mengumumkan status darurat itu pada Selasa, dan sekali gus membolehkan agensi-agensi negeri membantu pihak berkuasa tempatan menjalankan usaha memberi bantuan serta menjalankan tindakan menyelamat.

Kira-kira 300 anggota bomba kini bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, yang turut melanda wilayah Spokane, di Yale Road dan Wellesley.

Di Yale Road, api telah marak sehingga kawasan seluas 35,000 ekar dan dalam tempoh beberapa jam, banyak kediaman musnah terbakar.

Tiupan angin kuat pada awal kebakaran dan persekitaran yang kering juga menyukarkan usaha pasukan pengurusan bencana untuk memadamkan api.

“Ogos menandakan bermulanya musim yang paling kering di timur Washington. Tidak hairanlah jika tiada hujan diramalkan dalam masa beberapa hari ini.

“Angin pula dijangka bertiup lebih perlahan dalam beberapa berikutnya. Walaupun ia dapat mengurangkan perebakan api, ia juga bermakna asap boleh menjadi lebih tebal,” ujar pakar meteorologi Jon Erdman. - Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA