Beijing pertahan tuntutan Laut China Selatan


BEIJING: China semalam melancarkan laman web baharu untuk mempertahankan pendiriannya berhubung Laut China Selatan selepas tribunal antarabangsa mengenepikan tuntutan republik itu ke atas perairan berkenaan.

Laman web mengenai Laut China Selatan itu lengkap dengan peta sejarah untuk menegaskan tuntutan China.

Keputusan Mahkamah Timbang Tara Kekal di The Hague pada 12 Julai lalu menolak tuntutan China ke atas Laut China Selatan berdasarkan hak bersejarah dan mengekalkan tuntutan Filipina ke atas sebahagian perairan itu.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan. China juga memulaukan tribunal itu dan menolak keputusannya, menyatakan ia tidak sah.

Dikendalikan Perkhidmatan Maklumat dan Data Marin Kebangsaan, laman web berbahasa Cina itu mempunyai 10 seksyen yang meliputi maklumat asas, berita, arkib sejarah, perkembangan dan pengurusan, pandangan pakar, undang-undang dan peraturan, tarikh peristiwa penting, gambar, video serta soalan dan jawapan.

"Pertikaian di Laut China Selatan menarik perhatian, tetapi sebahagian maklumat di online tidak tepat.

"Kami harap laman web ini akan membolehkan penduduk dalam dan luar negara memahami lebih baik dan mempelajari kebenaran di sebalik 'pertikaian' ini," kata pegawai di Pentadbiran Lautan Negara (SOA), Zhang Haiwen.

Menurut Zhang, laman web itu bukan hanya mengandungi peta dan arkib tetapi juga analisis eksklusif dan artikel berdasarkan penilaian ribuan peta oleh pakar, lapor agensi berita Xinhua. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA