Bapa Lapor Polis, Syak Anak Dicabul


KUCHING: Seorang bapa tampil membuat laporan polis selepas mengesyaki anak perempuannya yang baharu berusia enam tahun dicabul sebelum ditinggalkan seorang diri di kawasan semak, kelmarin.

Menurut sumber, insiden dilaporkan berlaku di sebuah kampung di Jalan Matang, di sini apabila kanak-kanak terbabit mengadu mengalami sakit di bahagian kemaluannya sekitar jam 1 petang, Rabu lepas.

Difahamkan, mangsa pada hari yang sama keluar mengikut seorang lelaki dipercayai saudaranya dan ditemui seorang diri di kawasan semak tidak jauh dari rumah lelaki berkenaan sekitar jam 11.45 pagi.

“Keluarga mangsa mulanya tidak mengesyaki apa-apa sehingga mangsa tiba-tiba menangis dan mengadu sakit di bahagian kemaluannya menyebabkan dia segera dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan.

“Atas nasihat pihak hospital, bapa mangsa kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian pada hari yang sama,” kata sumber.

Ketua Polis Daerah Padawan DSP Choo Yin Kok ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.

“Mangsa telah diarah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital dan kita juga sudah mengenal pasti suspek dan dia masih dijejaki,” katanya ketika dihubungi semalam. UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA