Bajet Sarawak terus utamakan aspek pembangunan


KUCHING: Sarawak akan mengekalkan tema Bajet Negeri 2017 seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk aspek pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata pada tahun-tahun sebelumnya pembahagian bajet ialah 70 peratus untuk perbelanjaan pembangunan manakala 30 peratus lagi sebagai perbelanjaan berulang.

Beliau berkata Bajet Negeri tahun lalu (2016) menyaksikan daripada jumlah keseluruhan RM5.97 bilion, 74 peratus daripadanya adalah untuk perbelanjaan pembangunan manakala selebihnya perbelanjaan lain-lain.

Pembahagian itu katanya, jelas menunjukkan komitmen tinggi kerajaan negeri untuk memfokus kepada program serta projek yang dapat mempercepatkan proses transformasi luar bandar.

“Adalah penting memastikan dasar-dasar memfokus kepada (pembangunan) infrastruktur diteruskan sehingga 2020 malah selepas itu dan bagi Bajet Negeri 2017 kita akan melakukan perkara sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar James Masing pada majlis perasmian BPIF di sebuah hotel di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan Adenan berkata kerajaan negeri berusaha meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan persekutuan dan sektor awam untuk menggerakkan pasaran modal bagi membiayai pembangunan infrastruktur di Sarawak.

Sarawak katanya, masih jauh ketinggalan dalam pembangunan infrastruktur berbanding negeri lain di Malaysia disebabkan kawasan yang luas dan penduduknya tinggal berselerak.

“Sarawak hari ini sedang pesat membangun. Pemilihan mengadakan Forum Infrastruktur Bank Pembangunan (BPIF) di Sarawak amat tepat sekali kerana fokus kerajaan negeri ialah membangunkan kemudahan-kemudahan infrastruktur utamanya untuk menyokong program perindustrian di negeri ini,” katanya.

Forum sehari itu dianjurkan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan kerjasama RAM Holdings Berhad dan CIMB Investment Bank Berhad.

Adenan berkata penganjuran BPIF di sini kali ini menunjukkan wujud keinginan bersama melihat Sarawak setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, lebih-lebih lagi dalam pembangunan infrastruktur.

Menurut beliau Sarawak muncul antara destinasi pelaburan teratas di Malaysia, menarik jumlah pelaburan sejumlah RM11.9 bilion pada 2015 dan berada di tempat kedua selepas Johor dalam bentuk nilai pelaburan projek yang telah diluluskan.

“Bagaimanapun seperti perumpamaan ‘firma yang cemerlang tidak percaya kepada kecemerlangan –hanya kepada penambahbaikan dan perubahan konsisten’, itulah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk menjadi firma yang terus cemerlang,” tegasnya.

Menurutnya banyak kawasan di luar bandar negeri ini masih belum menikmati kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta aksesibiliti kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Oleh itu untuk mencapai objektif itu, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa projek ekonomi dan infrastruktur utama dalam beberapa tahun lalu yang berjaya menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sarawak telah menetapkan semua program dan projek yang memberi kesan berganda dilaksanakan mengikut jadual untuk manfaat rakyat, menggalakkan keterangkuman ekonomi terutama di luar bandar dan meningkatkan perhubungan.

“Kita tahu untuk mempercepatkan proses perindustrian di Sarawak, kerajaan negeri mesti terlebih dahulu menyediakan menyediakan ekosistem yang terbaik untuk menarik pelaburan ke negeri ini.

“Ekosistem terbaik ini ialah pembinaan jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan dan kemudahan lain termasuk bekalan air, elektrik, telekomunikasi serta infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” jelasnya.

Menurut Adenan yang juga Menteri Kewangan, semua pembangunan infrastruktur itu mesti disediakan kerana ia merupakan bahan-bahan kritikal untuk memudahkan aktiviti–aktiviti perniagaan serta pelaburan.

Beliau juga percaya projek Lebuh Raya Pan Borneo yang berongkos berbilion ringgit, sepanjang kira-kira 1,000 kilometer dari Sematan ke Lawas akan menjadi pemangkin perubahan kepada ekonomi Sarawak.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah BPMB Datuk Wan Azhar Wan Ahmad, Presiden merangkap Pengarah Urusan Kumpulan BPMB Mohammed Rafidz Ahmed Rasiddi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif RAM Holdings Berhad Datuk Seri Dr K Govinda dan Pengarah Urusan merangkap Timbalan Kedua Pasaran Modal Hutang Wilayah CIMB Investment Bank Berhad Yeoh Phee Leong. UB

Photocredit: Rais Sanusi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA