Bajet Sarawak 2017 Berorientasikan Pembangunan


KUCHING : Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem membayangkan Bajet Sarawak 2017 akan sekali lagi lebih berorientasikan pembangunan, sama seperti tahun ini.

Beliau berkata daripada RM5.97 bilion yang diperuntukkan bagi Bajet 2016, 74 peratus dikhususkan kepada perbelanjaan pembangunan.

"Saya percaya Bajet 2017 berkemungkinan besar akan mengekalkan tema tahun sebelumnya dan terus menjurus kepada pembangunan, terutama bagi kawasan luar bandarnya (Sarawak).

"Adalah penting dasar yang memberi fokus kepada infrastruktur diteruskan hingga 2020 dan selepasnya," kata beliau ketika merasmikan Forum Infrastruktur Bank Pembangunan Malaysia 2016 yang dihadiri kira-kira 100 peserta di sini, Rabu.

Teks ucapan Adenan dibacakan timbalannya, Tan Sri Dr James Jemut Masing, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri.

Beliau berkata Sarawak kini merupakan antara destinasi pelaburan utama di Malaysia dan menarik pelaburan berjumlah RM11.9 bilion untuk menduduki tempat kedua selepas Johor dari segi nilai pelaburan projek yang diluluskan tahun lepas.

Bagaimanapun, kata beliau, Sarawak masih memerlukan lebih banyak pembangunan infrastruktur berikutan keluasan kawasannya serta taburan penduduk yang berselerak dan berkepadatan rendah.

Banyak kawasan luar bandar yang masih tidak mempunyai keperluan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta capaian kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan, katanya.

Adenan berkata sebagai langkah pertama, Sarawak perlu menyediakan ekosistem yang tepat untuk menarik pelaburan bagi mempercepatkan proses pengindustriannya.

"Maka, kami perlu menyediakan lebih banyak jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan dan kemudahan awam termasuk bekalan air, tenaga, telekomunikasi dan infrastruktur kerana ia merupakan perkara penting untuk merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan," kata beliau. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA