ATM Tubuh Unit Khas Pertahanan Siber

GOMBAK – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan Unit Khas Pertahanan Siber bagi melindungi dan mencegah sistem pertahanan negara daripada diserang atau diceroboh.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sistem itu dibangunkan tahun lalu.

“Melaluinya, kementerian bekerjasama rapat dengan negara tertentu supaya maklumat rahsia dan berhubung kait dengan aset ketenteraan dan lain-lain tidak boleh diceroboh dan diserang mana-mana pihak.

“Fenomena berlaku ini banyak membuatkan negara lain terkapai-kapai dalam konteks kerahsiaan aset yang sensitif dan baru-baru ini, satu dua negara yang mempunyai kapal selam Scorpene terbocor dari segi maklumatnya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Gombak 2016 di sini, semalam.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, kementerian memberi fokus beberapa aspek utama’ cyber defence’ di ATM ketika ini.

“Ia melibatkan pemantauan rapi terhadap sebarang aktiviti berbentuk ancaman siber yang berpotensi mengancam sistem dan rangkaian pertahanan negara.

“Pengukuhan sistem pertahanan siber terhadap sistem infra ICT dan pengauditan keselamatan siber (security posture audit) dan aktiviti siber forensik,” katanya.

Menurutnya, tidak ada mana-mana negara di dunia hari ini terlepas daripada berdepan ancaman keselamatan siber, bahkan cabaran itu dilihat semakin kompleks dan mencabar.

“Ini kerana dunia siber adalah satu bentuk persekitaran tanpa sempadan, di mana komuniti terlibat tidak pernah mempunyai persempadanan khusus dan terkawal, malah sentiasa boleh diubah-ubah.

“Platform siber juga boleh digunakan semua pihak berkepentingan, sama ada individu, perkumpulan ataupun organisasi termasuklah mereka yang mempunyai unsur keganasan seperti Daesh,” katanya.

Justeru, beliau berkata, ancaman siber perlu ditangani dengan bijak dan berhati-hati memandangkan teknologi siber ini mudah dimiliki dan diperoleh pada harga murah.

“Teknologi siber juga mudah dibangunkan dan dikongsi bersama pihak lain menerusi talian dunia maya, perkumpulan dalam persekitaran siber berpotensi diadakan pada bila-bila masa dengan tujuan tertentu.

“Hal ehwal pertahanan negara yang sulit boleh dieksploitasi menerusi aktiviti serangan siber selain sumber dalaman mudah dieksploitasi dalam aktiviti serangan siber,” ujarnya.

Katanya, pihak ATM dan Mindef tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keselamatan dan pertahanan negara melalui apa juga cara termasuk platform siber.-SH.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA