Anak Muda Melanau Kuasai Wushu



Muhammad Asri bersama kedua ibubapanya selepas memperolehi emas dalam
acara Taijiquan SUKMA ke-18 Sarawak
KUCHING: Kejayaan seorang anak muda dari kaum Melanau dalam sukan Wushu pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke 18 di Sarawak, membuktikan sukan itu bukan lagi hanya untuk kaum Cina, malah kalangan masyarakat Bumiputera juga mampu menguasainya.

Aksi Taijiquan Muhammad Asri
Siapa sangka atlit muda berbangsa Melanau telah mencipta kejayaan meraih pingat emas pada SUKMA kali ini menerusi acara Taijiquan yang secara tradisinya didominasi kaum Tiong Hua .

Sarawakiana berkesempatan menemubual Muhammad Asri Abdul Wahab, 19, yang berasal dari Kampung Bawang, Matu.

Beliau mencatat sejarah tersendiri bila memenangi pingat emas dalam sukan tersebut.

Menurut Asri, pada peringkat awal pembabitkannya dalam sukan Wushu adalah atas kehendak sendiri yang ingin merasai pengalaman dalam sukan tersebut.

Salah satu disiplin Taijiquan Muhammad Asri
"Saya begitu meminati sukan wushu atas kehendak sendiri dan mengikut rakan-rakan berbangsa Melayu dan Cina.

"Bermula di Sekolah Menengah Kampung Nangka Sibu, adalah detik permulaan saya menceburi sukan wushu dan membuktikan kaum lain selain cina juga berupaya menguasai sukan wushu," katanya.

Asri yang kini menuntut di Politeknik Mukah berkata, beliau aktif dalam sukan wushu hingga diserap dalam kem SUKMA selama 10 bulan.

Gaya yang menarik dari Muhammad Asri

"Saya pernah dihantar berlatih di Fujian dan Fuzhou China selama satu bulan.

"Di sana saya telah dilatih teknik-teknik wushu yang tidak terdapat di sini dan ia menjadi pengalaman berharga buat saya," ujarnya.

Asri turut menyatakan pencapaian memperolehi pingat emas SUKMA kali ini adalah satu penghargaan buat semua penyokong beliau dan membuktikan sukan wushu adalah sukan untuk semua kaum.

Beliau turut berharap bahawa beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat lebih emas pada SUKMA akan datang kerana beliau bukan setakat menceburi dalam Taijiquan malah acara Taijijian juga beliau impikan emas pada masa akan datang.

Disiplin sukar yang dipamerkan oleh Muhammad Asri
Diakhir temuabual, Asri turut berkongsi impiannya untuk bertanding pada peringkat yang lebih tinggi lagi pada masa hadapan.

Beliau berharap satu hari nanti beliau akan mewakili Malaysia dalam sukan wushu di peringkat dunia dan dapat mengharum nama Malaysia dengan mencapai pingat emas atau sebagainya. - Sarawakiana

(Gambar: Ihsan Muhammad Asri)

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA