Abang Kepada Adik Omran Meninggal Dunia



Beirut : Abang kepada Omran Daqneesh, kanak-kanak Syria yang gambarnya dirakamkan dalam keadaan cukup menyayat hati duduk di belakang sebuah ambulans Rabu lalu, meninggal dunia pada Ahad akibat cedera parah selepas kediaman mereka musnah dalam satu serangan udara.

"Ali, 10, terkorban akibat cedera parah dalam serangan pada 17 Ogos lalu di Aleppo," kata Pemerhati hak asasi manusia Syria.

Gambar Omran, 4, dalam keadaan trauma dan berlumuran darah ketika duduk di belakang sebuah ambulans menjadi viral di media sosial seluruh dunia.

Malah gambar terbaharu itu Omran itu membuktikan penderitaan kanak-kanak Syria dalam konflik keganasan sejak lima tahun lalu itu.

Omran dan ibu bapanya berjaya dikeluarkan dari runtuhan dalam keadaan cedera tetapi selamat susulan serangan bom di kejiranan Qaterji yang dikuasai pemberontak di timur Aleppo.

Pusat Media Aleppo, sebuah rangkaian aktivis di bandar terpisah dekat utara itu mengesahkan kematian Ali dalam sebuah video pada Ahad.

Gambar Omran yang kelihatan parah, terkejut dan hanya berdiam diri mencetus kemarahan global, sama seperti gambar mayat seorang kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi, yang ditemui terdampar di pantai Turki ketika bersama keluarganya untuk cuba masuk ke Eropah pada 3 September lalu.

Lebih 290,000 orang terbunuh sejak konflik tercetus di Syria dengan 15,000 daripadanya adalah kanak-kanak.

Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dianggarkan seramai 250,000 orang penduduk masih tinggal di bahagian timur bandar itu, 100,000 daripadanya adalah kanak-kanak. - Mstar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA