72 Ditahan Dalam 46 Serbuan Banteras Aktiviti Judi Haram Di Sarawak


KUCHING - Polis Sarawak menahan 72 orang berumur antara 14 dan 70 tahun dalam 46 serbuan di seluruh negeri sejak minggu lepas, dipercayai terlibat dalam aktiviti judi haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar M. M. Sree Shunmugam berkata, 40 serbuan dilakukan berkaitan dengan loteri haram, manakala tiga berkaitan judi dalam talian dan tiga lagi berjudi di tempat awam.

Beliau berkata, 56 lelaki dan 16 wanita itu ditahan kerana terlibat dalam mempromosikan loteri awam tanpa lesen dan judi dalam talian dan daripada 72 yang ditahan, sembilan merupakan warga asing.

"Wang tunai berjumlah RM37,722 dirampas dalam serbuan itu, bersama-sama dengan 20 komputer dan 16 tablet yang digunakan untuk judi dalam talian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dev berkata, serbuan itu dilakukan sejak Isnin lepas berikutan arahan daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor kepada semua ketua polis daerah untuk membersihkan kawasan aktiviti perjudian di tempat masing-masing. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA