51 Tahun Hubungan Malaysia-Singapura, Bagai Isi Dan Kuku


KUALA LUMPUR: “Bagai isi dengan kuku”, demikianlah betapa eratnya hubungan antara Singapura dan Malaysia, kata Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia Vanu Gopala Menon.

Berucap pada majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-51 Singapura di sini semalam, beliau berkata Malaysia akan sentiasa menjadi rakan penting Singapura dan kedua-dua negara komited menjalin hubungan dua hala yang kukuh.

“Seperti kata peribahasa Melayu, “bagai isi dengan kuku”, begitulah eratnya hubungan antara Singapura dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Hari Kebangsaan Singapura ke-51 juga menandai ulang tahun ke-51 hubungan Singapura-Malaysia.

“Lima puluh satu tahun persahabatan dan kerjasama…marilah kita sama-sama memandang ke hadapan untuk terus bekerjasama demi masa depan lebih cerah bagi kedua-dua negara kita,” katanya pada majlis itu yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu, termasuk pegawai kementerian, ahli akademik, duta dan pesuruhjaya tinggi serta rakyat Singapura yang bermastautin di Malaysia.

Tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura Masagos Zulkifli, yang berada di sini untuk menghadiri Persidangan
Pihak-pihak Kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-12), turut hadir.

Ketika menjelaskan hubungan dua hala yang erat antara kedua-dua negara, Menon mengetengahkan perkara penting yang dicapai dalam tempoh setahun lepas seperti penandatanganan memorandum persefahaman mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura bulan lepas.

Beliau juga menyebut tentang Kejohanan Golf Tunku Canselor Universiti Malaya-Universiti Nasional Singapura (UM-NUS) yang berlangsung di Putrajaya bulan lepas dan turut disertai Presiden Singapura Tan Keng Yam.

Ini, kata beliau, mencerminkan hubungan rapat yang wujud antara institusi pendidikan dari kedua-dua negara.

“Seterusnya, kami akan mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan untuk manfaat rakyat dari kedua-dua negara,” katanya.

Mengenai budaya sebagai wadah untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala, beliau berkata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan TITIAN BUDAYA pada November tahun lepas untuk meraikan ikatan persahabatan yang terjalin selama lima dekad antara kedua-dua negara.

“Acara yang diadakan di Kuala Lumpur itu menampilkan bakat kreatif dan mentaliti artistik dari kedua-dua negara yang meliputi pelbagai spektrum seni.

“TITIAN BUDAYA merentasi alam budaya yang menghimpunkan artis dari kedua dua belah Tambak Johor untuk mengadakan persembahan serta bertukar-tukar idea kreatif,” kata Menon. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA