500 Ribu Orang Bakal Kunjungi Hari Sukan Negara 2016


KUCHING: Hari Sukan Negara 2016 Peringkat Negeri Sarawak yang bakal berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober dijangka mampu menghimpunkan lebih daripada 500,000 pengunjung, kata Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Program utama akan berlangsung di Padang Merdeka pada 8 Oktober bermula jam 6.30 pagi.

Beliau berkata, sasaran pengunjung itu ditetapkan selepas mendapatkan maklum balas daripada ahli jawatankuasa dan residen setiap bahagian negeri ini.

Menurutnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dijangka merasmikan program tersebut pada 8 Oktober sama ada di Tebingan Kuching atau Padang Merdeka.

"Ini merupakan kali kedua program diadakan dan ia berlangsung pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober. Pada tahun lepas Hari Sukan Negara Peringkat Negeri berjaya menarik lebih kurang 400,000 pengunjung," katanya pada sidang media hari ini.

Malah katanya, program tersebut bukan sahaja berlangsung di Kuching tetapi turut melibatkan penganjuran peringkat bahagian, daerah dan kampung.

"Pelbagai acara akan berlangsung seperti fun ride, fun run, zumba, senamrobik, seni mempertahankan diri dan jualan peralatan sukan," ujarnya. -Sarawakiana.













No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA