41 Kes Jangkitan Virus Zika Di Singaura

Foto: AFP

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan berlaku 41 kes virus Zika dari jangkitan dalaman.

Channel NewsAsia yang memetik MOH dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) melapor daripada kalangan penghidap itu, 34 daripadanya sudah sembuh sepenuhnya sementara tujuh lagi sedang dirawat di Hospital Tan Tock Seng.

Dilaporkan semua pesakit adalah sama ada residen atau pekerja di kawasan Aljunied Crescent atau Sims Drive.

Mereka tidak diketahui telah mengembara ke kawasan jangkitan Zika dan oleh itu dijangka jangkitan berlaku dalam Singapura, kata saluran media itu.

Daripada jumlah kes berkenaan, 35 pesakit adalah pekerja asing yang bekerja di kawasan pembinaan Sims Drive, kata MOH dan NEA.

Pengumuman kes itu dibuat selepas kedua-dua pihak berkenaan melaporkan seorang wanita Malaysia yang berusia 47 tahun yang tinggal di Block 102 Aljunied Crescent adalah kes pertama jangkitan dalaman di Singapura. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA