23 Sept Tarikh Sebutan Semula Kes Pembunuhan Bill Kayong

MIRI, 30 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini menetapkan 23 Sept sebagai tarikh bagi sebutan semula kes dua suspek yang dituduh membunuh Setiausaha PKR Bill Kayong.

Pendaftar Mahkamah Rendah Nuur Hafiza Yatim membuat keputusan itu atas permintaan pihak pendakwa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Mohd Abdullah memberitahu mahkamah bahawa beliau belum menerima dokumen yang berkenaan seperti laporan bedah siasat, telekomunikasi, dapatan ahli kimia dan laporan mengenai urusan perbankan.

Pada 15 Julai, Fitri, 29, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, dihadapkan dengan pertuduhan membunuh Bill Kayong di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket, Jalan Miri-Bintulu pada 8.20 pagi 21 Jun.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lie Chang Loong, 39, juga dihadapkan di mahkamah pada 15 Julai bagi tuduhan bersubahat dengan Fitri dan Chin Wui Chung, 50, serta Datuk Lee Chee Kiang, yang masih bebas, mengikut Seksyen 109, yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Chin, yang merupakan pembantu peribadi Lee, dihadapkan di Mahkamah Majistret semalam.

Polis dikatakan mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan Lee yang dipercayai berada di Australia. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA