"22 Tahun Mahathir, Kegagalan Yang Teruk" - Musa Hitam


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyifatkan pentadbiran 22 tahun Tun Dr. Mahathir ­Mohamad sebagai Perdana Menteri adalah satu ‘kegagalan yang teruk’.

Dalam bukunya bertajuk Frankly Speaking yang dilancarkan baru-baru ini, Musa mende­dikasikan satu bab khas untuk membincangkan berkenaan kekuatan dan kelemahan pentadbiran Dr. Mahathir.

Menurut Musa, bekas Perdana Menteri itu adalah seorang pemimpin berwawasan yang telah banyak membangunkan negara, namun gagal mencari dan me­latih penggantinya.

Mengimbas kembali ketika bersama Dr. Mahathir memimpin negara, Musa menggambarkan bekas Perdana Menteri itu sebagai seorang pemimpin yang amat teliti dan suka membuat catatan semasa mesyuarat.

Dalam buku tersebut, beliau turut memuji kebangkitan ­Malaysia di peringkat antarabangsa semasa era Dr. Mahathir yang dilakukan secara teratur dengan menggunakan pendekatan pengurusan mikro.

Walau bagaimanapun, ketika perkataan taat, inovatif dan teliti digunakan untuk menggambarkan sikap bekas ketuanya itu, masyarakat antarabangsa juga menggelar bekas Perdana Menteri itu sebagai autoritarian, penuh kebencian dan suka bergaduh.

Beliau memberitahu, Dr. Mahathir mungkin suka melibatkan diri, tetapi juga lebih suka menjadi pihak berkecuali dalam sesi dialog atau perdebatan diadakan.

Musa menambah, satu lagi aspek negatif tentang Dr. Mahathir adalah kritikan yang kerap dilemparkan beliau terhadap orang Melayu.

“Beliau seolah-olah seperti membenci dan merendah-rendahkan mereka. Malah, baru-baru ini ketika rakaman Dr. Mahathir ada berkata ‘orang Melayu bodoh’,” katanya.

Buku Musa yang telah dilancarkan pada Rabu lalu telah mengupas pelbagai isu seperti pendidikan dan bahasa serta peristiwa Memali 1985. – Utusan

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA