22 Hilang Jambatan Runtuh Di India


INDIA: Sekurang-kurangnya 22 hilang selepas jambatan sebuah lebuhraya yang menghubungkan bandar Mumbai dengan resort di Goa, barat India runtuh.

Pegawai rasmi berkata, dua bas yang membawa penumpang terjunam ke dalam sungai selepas jambatan runtuh pada awal Rabu.

Pegawai Polis Sanjay Patil memberitahu AP, penyelamat tidak menemui apa-apa kenderaan atau mangsa yang terselamat.

Hujan lebat menghalang operasi menyelamat dan lalu lintas telah dialihkan ke sebuah jambatan baharu di kawasan itu.

Ketua Pasukan Respons Bencana Negeri, OP Singh berkata, 80 penyelamat termasuk penyelam bergegas di kawasan itu.

Beliau berkata, laporan awal menunjukkan sekurang-kurangnya dua buah bas yang melalui jambatan lama, jatuh ke dalam sungai Savitri yang dilimpahi air ekoran hujan lebat.

"Bas tidak dikesan dalam jarak kilometer dari jambatan dan berkemungkinan dibawa arus," kata pasukan tindak balas bencana negara, Rakesh Ranjan.

Mac lalu, jejambat yang sedang dibina di bandar Kolkata runtuh, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dan mencederakan hampir 100 orang.

Pada tahun 2011, kira-kira 32 orang maut dan 132 cedera selepas sebuah jambatan runtuh di acara politik di Darjeeling di Bengal Barat. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA