20,000 Dijangka Hadir Program PM Bersama Rakyat



KOTA BHARU: Kira-kira 20,000 rakyat dijangka hadir pada Program Perdana Menteri Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Batang, Tumpat, dekat sini, Sabtu ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abd Aziz, berkata serentak majlis itu, Datuk Seri Najib Razak akan turut merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tumpat sebelum menghadiri Jamuan Rakyat Sehati Sejiwa di tempat sama.

Beliau berkata, UMNO Tumpat menganggap ia satu penghormatan apabila Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO sudi merasmikan mesyuarat UMNO bahagian itu selain menyertai Program Bersama Rakyat.

"Lebih menarik dan tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila kedua-dua pemimpin utama negara, Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi datang ke negeri ini untuk dua hari berturut-turut bermula esok.

"Kesediaan Perdana Menteri dan timbalannya hadir ke negeri ini membuktikan mereka amat memberi perhatian berat kepada rakyat negeri ini," katanya. Ahmad Zahid dijangka tiba di Kelantan esok bagi menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pondok Moden Jeli dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Pasir Mas, disusuli kedatangan Najib pada keesokannya.

Kunjungan Najib pada Sabtu ini juga adalah yang kedua ke negeri ini tahun ini selepas menghadiri majlis penyerahan kunci rumah mangsa banjir dan melawat tapak pembinaan hospital baharu di Kuala Krai, selain majlis berbuka puasa bersama rakyat di Pasir Puteh pada 19 Jun lalu. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA